Pages

Sunday, 10 May 2015

Selamat Hari Ibu!



Ibu.. ibu.. Engkaulah ratu hatiku.
Bila ku berduka,
Engkau hiburkan selalu.
Ibu.. ibu.. Engkaulah ratu hatiku.






SELAMAT HARI IBU buat mak saya yang tersayang dan juga mak mertua yang dikasihi. Terima kasih atas pengorbanan, kasih sayang dan perhatian yang tak berbelah bagi. Terima kasih atas segala-galanya mak. Semoga mak berdua dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan sentiasa berada dalam rahmat serta kasih sayang Allah. Amin.






Sebenarnya dalam Islam, tiada hari khusus untuk sambutan hari Ibu. Setiap hari, setiap masa dan setiap saat adalah masa untuk kita menghargai, menyayangi dan mengingati pengorbanan ibu. Cuma, pada bulan Mei kita sambut Hari Ibu sebagai tanda penghargaan khas. Bagi peluang kepada anak-anak yang selalu sibuk, mungkin ada kalanya terlupa untuk bertanya khabar ibu. Jadi dengan sambutan Hari Ibu, dapatlah anak-anak buat sambutan khas, beli kek, beli bunga, bagi hadiah atau bawak pergi bercuti kan.


Tak dapat dibalas pengorbanan seorang ibu yang bersusah-payah semenjak kita di alam rahim hingga dewasa. Seorang ibu tak mengharapkan balasan anak dalam bentuk wang ringgit, harta dan kemewahan. Sangat bersyukur si ibu jika kita sebagai anak sentiasa mengambil berat, menghargai dan yang paling penting menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan ibu di dunia dan selepas ibu tiada nanti.


Terlalu banyak pengorbanan mak saya. Saya bukanlah berasal daripada keluarga yang senang. Hanya tinggal di kampung, membesar dalam suasana yang sederhana dan biasa-biasa sahaja. Alhamdulillah cukup dengan rezekiNya walaupun tak mewah. Saya ingat lagi, setiap hari mak saya akan bangun seawal 4.30 pagi untuk membuat kuih untuk dijual. Betapa saya melihat kesungguhan dan keikhlasan mak saya untuk membantu ayah dan yang pasti memberi yang terbaik kepada kami 5 beradik.


Syukur sangat-sangat. Alhamdulillah, anak-anak mak berjaya ke menara gading, dah ada kehidupan yang lebih baik hasil doa dan berkat restu daripada mak. Yang pasti, sekarang dan masa akan datang adalah giliran kami untuk berbakti dan berusaha memberikan yang terbaik buat mak dan ayah. Manis sangat rasanya bila dikenang kembali. Kalau dulu kami tak merasa saat-saat sukar, pasti sekarang ni hidup kami tak tentu arah. Kami bangkit daripada kesusahan dan berusaha sebaik mungkin. Mencari ilmu dan kekuatan diri. Itulah pesan mak dan ayah. Hanya dengan ilmu kita boleh merubah hidup ke arah yang lebih baik.


Kepada anda yang bergelar ibu, Selamat Hari Ibu. Semoga diberkati selalu dan berusaha menjadi ibu yang terbaik buat anak-anak. Saya? Belum ada rezeki untuk menjadi ibu. In shaa Allah, perancangan Allah itu yang terbaik kan. =)


Salam sayang,
ain