Pages

Friday 23 October 2015

Kisah Kopi





Malam tadi, ketika minum kopi, saya terasa sedikit pahit. Namun, saya tetap minum. Ketika kopi saya sudah tinggal suku, baru la saya perasan. Saya terlupa nak kacau kopi dan susu. Hehe..


Apabila saya kacau kopi dengan susu, rasanya terlalu manis dengan baki kopi yang hanya hinggal suku. Terlalu manis sampai saya tak mampu nak minum lagi. Agaknya, inilah resam hidup. Kadangkala kita terlupa bahawa yang manis itu ada pada dasarnya. Kita perlu mencari. Sekiranya kita malas hendak mencari, sudah tentu pahit yang kita dapat.


Mujurlah Allah sudah 'membancuh' hidup kita dengan perkara yang manis dan juga pahit. Kerana hidup ini akan menjadi bosan dan kurang bermakna sekiranya hanya dihiasi dengan perkara yang manis ataupun hanya dihiasi dengan perkara yang pahit sahaja. 


Secara jujurnya, saya sendiri pernah beberapa kali melalui episod duka dalam hidup. Hinggakan saya jatuh terduduk, menangis hiba, hilang harapan dan semangat untuk terus hidup. Allahuakbar.. Selepas beberapa kali mendengar motivasi Prof. Dr. Muhaya, saya banyak muhasabah diri. Saya tersedar dari mimpi. Saya sibukkan diri dengan menghadiri majlis ilmu. Kata Ustaz, Allah turunkan ujian untuk kita muhasabah dan berhijrah ke arah yang lebih baik. Ya, salah satunya ialah dengan banyakkan bersyukur. Walau seberat mana ujian, walau banyak mana pun kekurangan, bersyukurlah. Jangan merungut.
 
Didik hati untuk sentiasa husnuzon dan bersyukur dengan setiap perancangan Allah. Walaupun pahit atau manis, pasti ada sesuatu yang Allah ingin beri. Yang pasti, tak perlu hiraukan apa kata manusia kerana yang paling penting ialah redha Allah kepada kita. Sejauh mana kita redha dan bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan, itulah erti bahagia yang sebenarnya.



Salam Sayang,
Ain