Hai dearies.
Kita pernah mendengar seseorang mengatakan,
"Benarlah rezeki itu daripada Allah, tapi kita kena usaha." (1)
Kita juga pernah mendengar,
"Benarlah kita kena usaha tapi rezeki itu daripada Allah. (2)
Apa bezanya? Ternyata kedua-dua ayat ini bukanlah betul atau salah. Tindakan dan kata-kata kita cenderung mewakili apa yang kita rasa atau percaya. Ada orang memang mempercayai rezeki itu daripada Allah. Namun, melihat caranya berusaha, Allah dijadikan nombor dua pula. maksudnya apabila bertembung dengan situasi yang memerlukan dia membuat satu pilihan, keputusannya adalah Allah diletakkan di nombor dua.
Contoh, apabila seseorang sedang asyik dengan sesuatu perkara, sedang waktu solat sudah tiba, maka solat dikemudiankan malah dikerjakan di hujung-hujung waktu. Inilah golongan yang selesa mengucapkan ayat yang pertama itu. Padanya usaha nombor satu. Perintah Allah jatuh nombor dua.
Dalam satu riwayat, dinyatakan seorang Sahabat sedang bekerja. Beliau menyiapkan dinding yang terdiri daripada susunan batu-bata. Pada masa azan dilaungkan, kerjanya sudah hampir selesai. Iaitu hanya tinggal meletakkan sebutir bata sahaja lagi. Apabila ketulan terakhir itu diletakkan di tempatnya, maka sempurnalah kerjanya. Namun, tatkala mendengar azan dilaungkan, serta-merta Sahabat tersebut menghentikan kerjanya dan terus solat.
Apabila ditanya, mengapa tidak diteruskan kerjanya itu. Beliau menjawab jika beliau meneruskan kerjanya bermakna beliau sedang membesarkan batu itu daripada membesarkan Allah! Begitu dahsyat sekali iman para Sahabat. Maka tidak hairanlah rezeki mereka melimpah-ruah. mereka dipandang mulia walau tanpa harta dan kuasa. Mereka mendapat redha Allah dan dijanjikan kejayaan (mendapat syurga) semasa masih di dunia lagi.
Mereka percaya bahawa rezeki itu sangat kuat hubungannya dengan Allah. Dan bukan berkaitan rezeki sahaja.
Allah menyatakan dengan jelas melalui firmanNya di dalam Al-Quran yang bermaksud;
Kepunyaan-Nyalah semua yang ada di langit, di bumi, di antara keduanya dan di bawah tanah. (Thaha 20:6)
Allah juga telah menyatakan jaminanNya iaitu;
Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung jumlahnya. (Ali 'Imran 3:37)
Allah juga memberi strategi bertindak sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadis Qudsi.
Berkata Uqbah bin 'Amir al-Juhaini r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda; Wahai anak Adam! Tunaikan empat rakaat (sunat) pada awal siang, nescaya dengannya Aku mencukupimu pada sepanjang hari. (Riwayat Ahmad dan Abu Ya'la)
Solat sunat yang dimaksudkan adalah Dhuha.
Hadis ini jelas menunjukkan strategi bagaimana untuk menjemput rezeki. Kita tidak perlu bimbang dengan banyak atau sedikitnya rezeki yang diperoleh pada hari tersebut kerana sudah terdapat jaminan Allah.
Petikan drpd : Mudahnya Menjemput Rezeki
Salam sayang,
ain