Pages

Saturday, 19 September 2015

Surat Cinta Illahi : Bacalah


Al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Al-Quran adalah mukjizat agung buat baginda. Dalam Al-Quran terdapat banyak garis panduan berlandaskan syariat, doa, zikir, penawar suka dan duka, pengajaran serta penuh dengan nur dan rahmat. 


Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaan kepada Allah (tauhid). Konsep ibadah yang jelas dan menyeluruh telah ditunjukkan kepada kita. Dengan Al-Quran juga dapat mengajak kita berfikir serta mengagumi tentang kebesaran dan kekuasaan Allah yang Maha Agung. 








5 Kelebihan Membaca Al-Quran:


1. Menjadi syafaat di hari kiamat 

Daripada Abu Umamah r.a berkata, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda : "Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." (HR : Muslim)


2. Diangkat martabat

Daripada Umar Al-Khattab r.a berkata, "Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat golongan yang lain dengan sebab Al-Quran." (HR : Muslim)


3. Sepuluh ganjaran pahala

Daripada Ibnu Mas'ud r.a berkata, Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala. Aku tidak bermaksud : Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (HR : At-Tarmizi)


4. Sebaik-baik amalan

Daripada Uthman bin 'Affan r.a berkata, Rasulullah saw bersabda, "Sebaik-baik manusia di antara kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain." (HR : Bukhari)


5. Memperoleh sakinah (ketenangan)

Daripada Barra' dan A'zib r.a telah berkata, "Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dua tali, awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, kuda mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi, beliau pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad saw dan menceritakan peristiwa tersebut kepada baginda. Baginda bersabda, itulah sakinah (ketenangan) yang turun disebabkan bacaan Al-Quran." (HR : Bukhari dan Muslim)



Ada banyak lagi kelebihan yang Allah tawarkan dengan membaca surat cintaNya. Pesan guru saya, untuk mendapat berkat, bacalah Al-Quran walau hanya satu muka di awal pagi. In Shaa Allah kita akan merasa tenang dan semua urusan kita dipermudahkan. 



Salam Sayang,
Ain